Trand Semasa dan Isu Ibu Bapa Terhadap Pendidikan Awal Kanak-Kanak

1.0 Pendahuluan

Ibu bapa pada hari ini berhadapan dengan berbagai cabaran di dalam mendidik anak-anak. Mereka wajib memastikan anak-anak membesar dengan sempurna dari segi material seperti makanan, pakaian dan kediaman. Begitu juga pentingnya menyediakan dan menyemai jiwa anak-anak dengan pendidikan yang merangkumi pembentukan akal, jasmani, rohani, akhlak dan sosial. Suasana persekitaran memberikan tekanan kepada ibu bapa dalam menangani cabaran tersebut. Keperluan menambahkan pendapatan memerlukan kedua ibu bapa bekerja telah mengurangkan masa bersama dengan anak-anak.

Dalam konteks kanak-kanak, kesedaran pendidikan awal kanak-kanak perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ‘ilmu’ atau kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai sama ada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang (Department of Education and Science, 1990).

Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya pada kelakuan fizikal bahkan pengamalan akhlak peribadi perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam roh dan jiwanya.

2.0 Isu Ibu Bapa Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Kesemua ibu bapa secara naturalnya menginginkan anak-anak yang berjaya dalam hidupnya. Menjadi suatu harapan bagi kedua ibu bapa semasa dikandungan lagi anak yang dilahikan nanti sempurna tubuh badan, akal dan hidup berjaya untuk menjadi penyambung keturunan mereka. Di dalam surah al-Furqan Allah S.W.T berfirman maksudnya:


Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah Kami pemimpin ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa.

Selain itu setiap pasangan ibu bapa perlu menghayati maksud hadis seperti sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Muslim “Apabila mati anak Adam terputus darinya melainkan tiga perkara anak soleh, ilmu bermanfaat dan sedekah jariah”

Tanggungjawab ibu bapa juga dinyatakan dalam sebuah hadis “Setiap anak dilahirkan di atas fitrah, maka kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau Majusi” Fitrah di sini bermaksud Islam oleh itu setiap anak-anak dilahirkan sebagai seorang Muslim maka ibu bapanya yang bertanggungjawab memberikan ajaran agama yang sempurna supaya anak tersebut kekal di atas fitrah Islamnya dan memastikan anak tersebut tidak dipengaruhi oleh suasana persekitaran yang akan merosak dan menjejaskan fitrah kejadiannya.

Realiti kehidupan pada masa kini semangkin parah apabila banyak isu-isu tentang keruntuhan akhlak bukan di kalangan remaja tetapi di kalangan dewasa yang bergelar ibu bapa. Di petik daripada rencana oleh Dr. Abd. Rahim Md. Nor di Utusan Malaysia, 17 November 2011 menjelaskan analisis data perceraian yang berlaku di Malaysia iaitu sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala terdapat 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun berkenaan. Kalau benarlah kadar perceraian di kalangan pasangan Islam di negara ini sedang meningkat, kita bukan sahaja sedih tetapi keliru. Pasangan bercerai kerana tidak faham zon tanggungjawab masing-masing, sebagai suami atau isteri. Mereka berpisah kerana wang yang tidak cukup untuk memuaskan hati pasangan masing-masing, sedangkan kos hidup semakin meningkat, terutama mereka yang tinggal di Lembah Klang.

Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, semakin ramai ibu bapa yang melupakan tanggungjawab mendidik nilai integriti di rumah kerana beranggapan anak-anak akan diterapkan dengan nilai integriti melalui pembelajaran di sekolah. Dapatan satu kajian yang dijalankan oleh IIM, hampir 30 peratus ibu bapa di Malaysia kurang meluangkan masa makan malam bersama anak-anak. ''Pada waktu siang, ibu bapa sibuk di pejabat jadi mereka perlu gunakan waktu malam dengan sebaiknya iaitu duduk makan bersama anak-anak sambil berbincang mengenai aktiviti semasa serta perkembangan anak- anak. ''Ini akan membuatkan anak-anak tidak berasa diabaikan dan dalam masa yang sama, ibu bapa menjadi contoh yang baik kepada mereka serta memudahkan proses menerapkan nilai integriti dalam diri anak- anak,'' jelasnya. (Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan)

Nooh Gadot dalam kertas kerjanya Masyarakat, Pendidikan dan Pembentukan Keluarga Islam Berkualiti menyatakan bahawa keluarga Islam menghadapai masalah pergaulan dan cara hidup seperti kelemahan komunikasi dalam keluarga, salah laku perhubungan, generasi muda tidak menghormati yang tua dan ibu bapa kurang memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Seterusnya beliau menegaskan keluarga Islam berhadapan dengan dua cabaran dalaman dan luaran. Dalaman seperti kehidupan yang tidak berasaskan iman, takwa dan ihsan, ilmu pengetahuan tidak mencukupi, tidak ada role model dalam keluarga, hubungan kekeluargaan yang renggang, tidak ada suasana keislaman dalam keluarga, pembahagian masa tidak sekata di kalangan ahli keluarga, faktor kemiskinan manakala cabaran luar ialah penglibatan ibu bapa dalam aktiviti luar sehingga menjejaskan tanggungjawab di rumah, pergaulan dengan kumpulan yang rendah akhlak, pengaruh media massa dan tidak bijak memilih kerjaya yang bersesuaian dengan ibu bapa.

3.0 Kajian Kesedaran Ibu Bapa Terhadap Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Dalam merentasi alam cyber dan teknologi maklumat tidak dapat dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana kanak-kanak merupakan aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan memimpin sesebuah negara pada alaf yang akan datang.

Menurut Prof. Madya Dr. Mastura Badzis (2009) di dalam artikel yang bertajuk “Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal Umur Berasaskan Binaan Kurikulum yang Integratif” menyatakan hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun.

Dapatan terbaru dari kajian yang dilakukan oleh pakar neurologi mendapati bahawa 80 -85% perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia seorang kanak-kanak dan peringkat perkembangan yang paling pesat ialah diperingkat umur yang terawal dalam tempoh enam tahun tersebut. Oleh itu boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.

Dalam perbincangan di dalam artikel Mariani Md. Nor (2006) “Realiti Trend Dan Isu Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak” menyatakan terdapat tiga elemen yang penting iaitu kesan sosial, kesan kurikulum dan persediaan tenaga pengajar. Teori Ekologi mengikut Bronfenbrenner (1977) memberi penekanan bahawa individu yang melalui proses pertumbuhan dan perkembangan itu terangkum di dalam sistem persekitaran yang mementingkan interaksi antara satu sama lain. Interaksi antara kanak-kanak dengan persekitaran kanak-kanak itu dipercayai boleh mempengaruhi proses pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.

Dapatan kajian oleh penulis (Mariani et al., 2006) mengenai faktor persekitaran seperti ibu bapa yang mempengaruhi penyesuaian kanak-kanak di bilik darjah prasekolah mendapati 99.4% ibu bapa membantu kanak-kanak mendapatkan bahan pembelajaran yang sesuai untuk pendidikan. Persekitaran yang kondusif menunjukkan 89.5% memilih keperluan kelas dan 84% kemudahan-kemudahan lain yang disediakan untuk pemilihan anak-anak mereka belajar. Seramai 98.8% Ibu Bapa menyatakan komitmen mereka dalam menyemak kerja rumah anak-anak mereka pada usia kecil ini.

Kaori Okano (2004) Pendidikan Moden Jepun menyatakan sekolah mensosialkan dan mengakulturasi kanak-kanak sebagai persediaan menempuh alam dewasa di Jepun. Pelajar menyemai nilai dan sikap tertentu yang dikehandaki masyarakat dominan. Proses sosialisasi kanak-kanak dalam keluarga dikaji dalam penyelidikan psiokologi yang menunjukkan bagaimana keluarga Jepun mensosialisasikan bayi dan kanak-kanak sejak lahir. Terdapat perbezaan dinamik dalaman keluarga Jepun dengan Amerika, khususnya cara kanak-kanak dibesarkan sebelum masuk sekolah. Dalam kajiannnya Azuma menegaskan (1986; 6-8) bahawa ibu Jepun begitu memanjakan anak mereka menyebabkan kanak-kanak selesa dalam keluarga hasilnya anak-anak mudah dididik mengikut cara yang dikehendaki oleh ibunya.

5.0 Ciri-Ciri Pendidikan Islam Terhadap Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Terdapat lima ciri utama dalam pendidikan awal kanak-kanak menurut Islam. Cirinya yang pertama ialah Rabbaniyyah yang bermaksud ianya dari Allah. Ini merangkumi dua perkara iaitu sumber dan tujuan. Dari segi sumbernya ia menyedarkan kita bahawa sumber ilmu yang utama adalah terdapat di dalam Al Quran dan Hadis dan bukannya bersumberkan akal dan nafsu manusia sahaja. Manusia tidak mencipta asas-asas pendidikan Islam tetapi tugasnya ialah menerima, memahami dan menyesuaikan perlaksanaannya di dalam sistem kehidupan dan pendidikan.

Ciri kedua ialah pendidikan Islam itu bersifat sempurna dan komprehensif. Tidak ada kekurangan dalam sistem pendidikan Islam kerana ianya bersumberkan dua sumber utama iaitu Qur’an dan Hadis. Ia meliputi semua aspek pendidikan yang berasaskan kepada tiga prinsip utama iaitu tawhid yang sebenar, meliputi semua aspek pendidikan dan ibadah kepada Allah.

Ciri ketiga ialah keseimbangan yang bermaksud keseimbangan antara akhlak individu dan masyarakat dan negara. Manakala ciri keempat ialah komitmen iaitu pendidikan Islam bukan terletak pada teorinya sahaja tetapi ianya sesuatu yang mesti dilaksanakan kerana perlaksanaan merupakan manifestasi iman seseorang individu dan masyarakat. Ciri kelima ialah ia bersifat realistik sesuatu yang dapat dilaksanakan. Pendidikan Islam ialah sesuatu yang mampu dilaksanakan dan bukannya sekadar teori yang indah dilafazkan tetapi sukar dipraktiskan.

Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun. Mengikut pandangan pakar psikologi Barat Freud, pengalaman kanak-kanak pada zaman kecilnya akan mempengaruhinya di masa hadapan. Pada pandangan sebahagian sarjana Islam teori pendidikan anak-anak bermula semasa perkahwinan ibu dan bapa kepada anak-anak tersebut. Oleh itu sebahagian pemikir Islam membahagikan pembentukan peribadi anak-anak kepada sekurang-kurangnya tiga peringkat. Sebelum kelahiran, selepas kelahiran sehingga umur 10 atau 11 dan dari 11 sehinggalah ke alam remaja dan mampu berdikari.

6.0 Metod pendidikan Islam

Ada beberapa metod yang dicadangkan oleh pakar-pakar pendidikan Islam. Antaranya ibadah, menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran, hikmah, bercerita, perdebatan, membuat perbandingan, targhib dan tarhib, menanam adat-adat yang baik dan menggunakan peristiwa-peristiwa yang berlaku dan hukuman.

6.1 Ibadat

Ibadat merupakan metod pendidikan yang sempurna merangkumi semua aspek jasmani dan rohani individu dan masyarakat kerana pembentukan insan dan pembinaan peribadinya amat berhajat kepada amalan-amalan dan tingkah laku yang baik. Ibadat-ibadat seperti solat, zakat, puasa dan haji menanam sifat-sifat mulia yang perlu ada pada individu dan masyarakat.

6.2 Contoh Tauladan

Manusia dan anak—anak khususnya perlu diikat dengan contoh tauladan yang baik supaya mereka boleh melihat sample dan menjadikannya sebagai ikutan. Terdapat anak-anak yang menjadikan artis-artis dan ahli-ahli sukan sebagai idola dan pujaan mereka sedangkan mereka ini kosong nilai-nilai akhlaknya. Ibu bapa perlu memperkenalkan kepada anak-anak bahawa Rasul, para sahabatnya dan orang-orang alim dan bijaksana sahaja yang sepatutnya dijadikan contoh tauladan kerana akhlak mereka yang tinggi.

6.3 Amr bi ma`ruf dan nahi munkar

Mengajak manusia kepada kebaikan dan menegah dari keburukan satu metod yang baik dan berkesan kerana ia membangkitkan dalam diri anak-anak perasaan mengambil berat terhadap anggota masyarakat dan juga menyedarkan diri yang lalai akan kesalahan dan kekurangan diri.

6.4 Pendidikan dengan hikmah dan kebijaksanaan

Kanak-kanak jika bersesuaian cara nasihatnya akan menerima dan mengikut perkara yang dinasihatkan khususnya jika nasihat tersebut datang dari orang yang dikasihinya. Hikmah bermaksud meletakkan sesuatu kena dengan tempatnya. Menggunakan perkataan yang lemah lembut pada tempatnya menghukum anak-anak bersesuaian dengan keadaan dan kesalahannya adalah hikmah.

6.5 Bercerita

Mengajar anak-anak dengan membawa cerita-cerita akan meninggalkan kesan di dalam jiwa dan tersemat di dalam akal. Kaedah-kaedah ini digunakan oleh Qur’an dan hadis antaranya ayat 176 surah al-A`raf “Dan ceritakanlah cerita-cerita itu kepada mereka moga-moga mereka memahami”. Surah Yusuf umpamanya berkaitan kisah adik-adik beradik yang penuh dengan dengki dan diatasi dengan kasih sayang dan ikhlas kepada Allah.

6.6 Mendidik dengan pendekatan berdialog

Cara menyampaikan cerita mestilah ada kepelbagaian seperti bercerita secara dialog, cerita secara mengemukakan soalan. Satu ketika Nabi bertanya kepada para sahabatnya: Tahukah kamu siapa dia seorang Muslim itu? Jawab Sahabat : Allah dan RasulNya saja yang lebih mengetahui. Sabda Nabi: Seorang Muslim itu ialah siapa yang terselamat kaum Muslimin yang lain dari lidahnya dan tangannya.

6.7 Targhib dan tarhib

Targhib ialah membuatkan seseorang suka kepada sesuatu dan tarhib membuat seseorang membenci atau lari dari sesuatu. Targhib seperti menceritakan kepada anak-anak balasan dan hasil yang baik jika mereka berakhlak mulia dan tarhib menceritakan kepada anak-anak keburukan yang bakal berlaku jika mereka tersilap jalan. Ibu bapa boleh menggunakan gambar-gambar bagi menggambarkan apa yang mereka ceritakan kepada anak-anak.

6.8 Menanam dalam jiwa anak-anak adat-adat dan perbuatan yang baik

Anak-anak dari semenjak kecil perlu ditunjukkan adat dan perbuatan yang baik dan dijauhkan dari mereka adat dan perbuatan yang keji. Anak-anak perlu dibiasakan dengan menghormati orang tua, bersopan santun, tidak pemarah dan dengki.

6.9 Menggunakan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling

Ibu bapa perlu mengaitkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan akhlak anak-anak. Tunjukkan kepada mereka dan berikan mereka kefahaman

6.10 Hukuman

Ibu bapa perlu mengambil pendekatan-pendekatan berhikmah dalam menghukum anak-anak antaranya dengan memberikan nasihat dengan lemah lembut dan kasihan belas. Dalam sebuah hadis “Hendaklah anda bersifat lemah lembut dan jangan sekali-kali bersikap keras. Ibn Khaldun dalam bukunya al-Muqaddimah menyatakan bahawa kekerasan yang berterusan dengan anak-anak akan menjadikannya lemah semangat, jiwanya memberontak, kecergasannya akan hilang, menjadi malas dan suka berdusta. Ibu bapa juga boleh menghukum anak-anak dengan menunjukkan raut wajah yang tidak senang seperti memalingkan muka dari mereka, menunjukkan perasaan marah. Ibu bapa juga boleh memulaukan anak-anak dengan cara tidak bercakap dengan mereka untuk sesuatu tempoh. Memukul anak-anak mungkin merupakan cara terakhir seperti dalam hadis “Suruh anak-anak kamu mengerjakan sembahyang seusia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila telah mencapai umur sepuluh dan pisahkanlah antara mereka di tempat tidur.”

7.0 Kesimpulan

Kesedaran Ibu Bapa masa kini terhadap isu pendidikan awal kanak-kanak sememangnya telah meningkat dengan kecenderungan menghantar anak-anak ke prasekolah seawal usia 3 tahun. Tetapi apakah usaha ini menjamin ibu bapa bahawa mereka telah bertanggungjawab dalam soal pendidikan anak-anak. Isu-isu peningkatan kadar penderaan, punca remaja melepak, kes-kes sosial yang meningkat menunjukkan berlaku ketidakstabilan dan tiada keharmonian di dalam rumahtangga. Kanak-kanak tidak terdedah dalam cara yang sama untuk ‘belajar’ adab dan akhak hanya di sekolah sedangkan suasana di rumah merupakan pusat penyerapan tingkahlaku mereka yang utama dengan peranan ibu bapa dan ahli keluarga.

Pembentukan keluarga muslim adalah penting dalam perubahan tingkah laku dan pembentukan peribadi kanak-kanak. Di mana seharusnya setiap keluarga muslim memahami tujuan terpenting dalam keluarga adalah untuk mewujudkan perhambaan kepada Allah s.w.t. dalam segala permasalahan berlandaskan syariat Islam. Kedua, dapat mewujudkan ketenteraman dan ketenangan psikologi dengan kasih sayang isteri dan perhubungan anak-anak bahagia dan sejahtera, berdasarkan firman Allah s..w.t. yang bermaksud:

Dialah (Allah) Yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri Yang satu, dan ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra Yang satu kepada Yang lain..” (Al A’raf : 189)

Ketiga, mewujudkan sunah Rasulullah s.a.w. dengan menjadikan struktur rumahtangga yang dibina untuk melahirkan zuriat yang soleh dan solehah dengan penuh kasih sayang. Dengan ini aspek pendidikan awal kanak-kanak dapat disemai ibarat pepatah melayu “melentur buluh biar dari rebungnya”

Dalam sejarah Islam, begitu ramai ilmuan dan cendiakawan yang memberi sumbangan kepada ilmu pengasuhan perkembangan, dan pendidikan kanak-kanak. Ibnu Miskawaih misalnya begitu menekankan pentingnya pendidikan akhlaq dan pembentukan sahsiah yang mulia manakala Imam Al-Ghazali yang banyak menyumbang kepada perkembangan sosio-emosi kanak-kanak, begitu menekankan aspek belajar melalui bermain sebagai asas pengasuhan. Imam Al Ghazali begitu menekankan betapa pentingnya ibubapa perlu menjadi role model atau ikutan yang baik kerana sikap atau tingkahlaku yang ditunjukkan oleh ibubapa sebenarnya adalah kurikulum dalam pendidikan seorang kanak-kanak.

Dengan kesedaran yang betul dan peranan awal keluarga dalam mentarbiah anak dapatlah membentuk peribadi dan sahsiah anak itu sendiri sebagaimana hadis rasulullah swa yang yang bermaksud : “Sesiapa di kalangan kamu mengajar anaknya adalah lebih baik baginya daripada bersedekah setengah gantang makanan untuk orang miskin.”

Maka tidak dinafikan keluargalah yang mewujudkan madrasah pertama bagi anak-anak dengan fitrah kasih sayang yang Allah SWT kurniakan pada ibu bapa agar amanah yang dimiliki itu mendapat pendidikan menurut acuan Islam.

8.0 Rujukan


Comments

Popular posts from this blog

Doa Mesyuarat PIBG