LATARBELAKANG BAPA HJ BADRON

KIAYAI HAJI MOHD. JAIS BIN HASAN

Oleh Zainon binti Surip

Merupakan seorang tokoh agama dan pengamal ilmu saufi yang juga dikenali sebagai “Tarikat Naqshabandiah”. Ilmu Saufi tersebut merupakan amalan tambahan yang perlu dilakukan oleh seseorang bagi memotivasikan diri supaya lebih bertaqwa kepada Allah S.W.T. Dengan itu pengamalnya dapat menghindarkan diri daripada menurutkan hawa nafsu dan secara tidak langsung dapat meningkatkan iman mereka.

Untuk menyediakan kemudahan kepada pengikutnya menjalankan aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan amalan tersebut, Allahyarham sanggup mewakafkan tanah untuk didirikan sebuah surau yang terletak di Kampong Parit Bengkok, Parit Raja, Batu Pahat sebagai pusat dakwah dalam menyebarkan ilmu tersebut. Surau tersebut kini menjadi surau utama yang digunakan oleh penduduk Islam di kampong tersebut. Selain didirikan surau, sebuah balai memasak juga dibangunkan bersebelahan surau tersebut.

Selain daripada itu Allahyarham juga merupakan salah seorang yang terlibat dalam pembukaan beberapa buah kampong dalam kawasan Parit Raja, Batu Pahat, Johor iaitu Parit Tengah dan Parit Semarang.

Allahyarham berasal dari Solotigo, Jawa Tengah, Indonesia. Lahir sekitar tahun 1856. Kemudianya berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1892 ketika umurnya 36 tahun dan merantau kebeberapa tempat. Pernah bekerja sebagai pembantu tukang masak istana ketika zaman pemerintahan Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar di Johor Bahru. Ketika itu beliau mengenali seorang yang mempunyai kelebihan luar biasa bekerja sebagai tukang kebun istana yang dikenali sebagai Dandiar. Ada setengah riwayat menyatakan bahawa Dandiar itu merupakan seorang wali Allah kerana mempunyai kelebihan yang luar biasa.

Oleh kerana Kiayai Haji Jais berasal daripada keluarga petani dari semenjak kecil lagi, maka kerja yang dilakukannya sebagai pembantu tukang masak di istana dirasakannya tidak sesuai. Beliau mengambil keputusan untuk kembali meneroka tanah bersama sahabat-sahabatnya yang lain.

Setibanya di kawasan Air Hitam, Batu Pahat, beliau terpikat untuk meneroka kawasan di situ iaitu tidak jauh dari Pekan Ayer Hitam dan Parit Raja, Batu Pahat. Kampong tersebut sekarang ini dikenali sebagai Kampung Parit Tengah, Parit Raja, Batu Pahat. Di kampong tersebut beliau bertemu jodoh dengan Sopiah binti Moin dan telah dikurniakan lima orang anak. Tetapi tidak lama selepas itu isterinya meninggal dunia.

Selepas itu beliau berkahwin dengan Jumi binti Ya’kub dan berpindah ke Kampung Parit Bengkok, Parit Raja, Batu Pahat kerana diminta oleh sahabat-sahabat lama yang berasal dari Jawa Tengah yang telah membuka Kampung Parit Bengkok dan Kampong Parit Haji Salleh, Parit Raja. Sahabat-sahabatnya meminta beliau supaya menjadi imam dan mengajar ilmu agama disamping menghidupkan kembali amalan saufi yang juga dikenali sebagai sebelasan. Ini kerana sahabat-sahabatnya mengenali bapa beliau sebagai seorang Kiayai dan beliau juga merupakan seorang yang suka berguru dengan orang-orang alim ulama termasuk Kiayai Haji Siraj yang juga berasal dari Jawa Tengah yang telah menetap di Rengit, Batu Pahat. Maka amalan saufi atau dikenali sebagai naqshabandiah diperolehi oleh beliau adalah daripada Kiayai Haji Siraj. Beliau mengembangkannya ke beberapa daerah lain khususnya kampong-kampong yang berdekatan dengan Kampung Parit Bengkok iaitu seperti Parit Jelutong, Parit Samion dan kampong-kampong sepanjang Jalan Parit Botak, Parit Hamid, Batu Pahat.

Sifat keikhlasan beliau dalam membuat amal kebajikan begitu tinggi kerana ketika berlaku perang dunia ke dua atau orang kampong mengenalinya sebagai zaman Jepun, beliau sanggup menjual tanahnya untuk ditukar bagi mendapatkan kain putih untuk dijadikan kain kapan. Ini kerana pada ketika itu ramai kalangan penduduk kampongnya yang meninggal dunia disebabkan serangan penyakit berjangkit dan kehidupan ketika itu sangat daif.

Ketika zaman perang Cina pula beliau telah diamanahkan untuk menjaga seorang anak gadis yang ibu bapanya diburu oleh Jepun. Tetapi ibu bapanya yang berketurunan Cina telah dibunuh oleh Jepun. Kemudian beliau mengkahwini anak gadis yang kematian ibu bapanya tadi kerana hendak dikahwinkan dengan anak-anak lelakinya. Pada ketika itu anak bujangnya masih remaja belasan tahun. Maka bagi menjadikan anak gadis tersebut bercampur gaul dengan keluarga beliau tanpa menimbulkan perkara yang mendatangkan fitnah, maka isterinya sanggup bermadu dan tinggal serumah.

Allahyarham meninggal dunia pada 1958 ketika itu umurnya lebih kurang 102 tahun di Kampong Parit Bengkok, Parit Raja, Batu Pahat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit Haji Salleh yang tidak jauh dari rumah Allahyarham. Ketika meninggal beliau meninggalkan sepuluh orang anak dari isterinya yang bernama Jumi bin Ya’kub dan enam orang anak dari isterinya yang bernama Ruminah (keturunan Cina).

Melalui usaha tersebut secara tidak langsung Kiayai Haji Mohd. Jais mempunyai ramai kenalan yang terdiri daripada anak muridnya yang terus berkembang sehingga kehari ini. Melalui aktiviti yang juga dikenali sebagai sebelasan, maka salasilah seperguruan terus terjalin sehingga kehari ini.

Melalui kajian serta pemerhatian, kebanyakan ibu bapa yang menganggotai amalan “Tarikat Naqshabandiah” di dapati dapat memabangunkan keluarganya dengan lebih berjaya.

Rujukan :

Anak-anak Allahtarham yang tinggal di Kampung Parit Tengah, Parit Seri Menanti dan Parit Bengkok, Parit Raja, Batu Pahat.

Kiayai Haji Nor, Parit Semarang, Parit Raja, Batu Pahat.

Comments

baihaqi07 said…
selepas pemergian ayahan nampaknaya tiada waris atau ahlinya yang menghidupkan amalan tariqat di surau parit Bengkok... mudah2an ada penggantinya yang menambung amalan mulia ini.
AbiDamia said…
Salam ingin maklumat lanjut berkenaan Dandiar yang bergelar Embah Raden Subroto Cucunya Dipoyudo dan ingin menjejak lokasi salah seorang anak murid beliau yang kini berada di suatu lokasi di Perak sila berhubung jika ada maklumat lanjut
Bonang Penerus said…
Bagus betul jasa kiyai...sy dari Pekan Parit Raja Laut . Baru balik kampung ..sebelum ni tinggal Kl 10 tahun berguru dengan pelbagai guru dari aliran pondok dan tarikat . Sy tengah mencari sesiapa yg sanggup mengadakan sebarang usahasama untuk menghidupkan amalan tarikat/pondok di Parit Raja ini . Sy boleh dihubungi melaluli 019-3576830 hikmaharif@gmail.com . Syukran
seyogia said…
As Salam, Kiyai Mohd Jais ni Moyang sebelah emak saya. Adik lelaki nenek saya (nenek saya namanya Maimunah), kalau tak silap abang kepada Lek Badron iaitu adik kepada nenek saya, pernah menjadi Imam di salah sebuah masjid di Kuala Kangsar, Perak.
seyogia said…
Selepas Lek Salikin, tiada kesinambungan dari salur-galur Kiyai Mohd Jais di surau...

Popular posts from this blog

Doa Mesyuarat PIBG

Trand Semasa dan Isu Ibu Bapa Terhadap Pendidikan Awal Kanak-Kanak